Monday 30 September 2013

Bab 5 : Suri Di Hatiku




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani...


BAB 5

Jam Gucci merah jambu yang tersarung kemas di pergelangan tangan kiri kutilik lama. Adakah jam aku yang salah atau memang dah hampir dua puluh minit aku tercongok tunggu mamat nerd tu kat tempat parkir ni? Ah! Bencinya. Aku memang pantang bab-bab menunggu orang. Apa dia ingat aku ni penunggu ke?
       “Memang nak kena mamat ni. Dia datang nanti siap dia. Ugh!” Aku pandang lagi jarum jam. Dah masuk jam lima dua puluh dua minit petang. Tadi bukan main lagi Emir berjanji dengan aku untuk bertemu di tempat parkir ini jam lima petang. Katanya kelas dia habis pukul lima. Entah-entah dia tipu aku. Main-mainkan aku ke?
Sedang mulut aku sibuk membebel, tiba-tiba bebola mataku terpandang kelibat Emir yang sedang melangkah ke arahku. Serentak itu idea nakal muncul di benakku. Apa salahnya aku kenakan mamat nerd ni. Ini sebagai denda dia sebab datang lambat. Hek!
       “Suri! Suri okey?” Tak sempat aku rebah ke jalan, Emir meluru mendapatkan aku. Bagaikan terkena electric shock, jantung aku berdegup begitu laju apabila tangannya kemas memegang tanganku. Dari air mukanya, jelas menunjukkan dia sedang cemas dan panik melihat aku yang hampir pengsan tadi.
       “Emir, kepala Suri peninglah.” Sengaja aku bersuara berat. Nak tengok juga kalau-kalau Emir prihatin atau tidak dengan keadaan aku sekarang.
Tanpa berlengah, Emir membawa aku duduk ke kerusi yang berada tidak jauh dari tempat kami berdiri.
       “Kenapa Suri asyik pening kepala aje ni. Suri sakit ke? Kita pergi klinik ya,” ujar Emir seraya menghulurkan air mineral yang diambilnya dari dalam beg galasnya. Aku menyambut huluran Emir sambil geleng kepala. Sambil itu, kupicit kepalaku perlahan-lahan.
       “Alah Suri tak apa-apalah Emir. Suri cuma pening sikit aje. Pening sebab tunggu orang tu lama sangat. Janji pukul lima tapi… hmm…” Emir pandang aku dengan pandangan bingung. Berkerut-kerut dahinya menatap muka aku yang cun ni.
       “Suri kenakan Emir ke? Suri tak pening, kan? Hmm?” tanya Emir.
       “Pening tak pening. Yang penting, Emir dah mungkir janji. Kenapa datang lambat? Lama Suri tunggu tau. Ingatkan orang tu dah tipu kita.” Aku berkata dengan nada rajuk. Entah kenapalah dengan hati aku ni. Gatal sangat nak merajuk dengan Emir. Mungkin nak Emir pujuk kut.
Emir masih menggaru kepalanya. Pasti dia sedang mencari alasan atas kelewatannya. Itulah lelaki. Kalau salah, sah-sah garu kepala. Nampak sangat salah!
Lama aku tunggu Emir pujuk aku dan menjelaskan hal yang sebenar. Namun, dia hanya diam tanpa kata. Sentap dengan keadaan itu, aku pantas mengangkat punggung. Tanpa menunggu dia, langkah kuatur laju menuju ke kereta. Dalam hati, aku kecewa. Kecewa kerana Emir langsung tidak memujuk.
       “Suri…” Panggilan Emir aku buat bodoh. Tak kuasa aku nak layan! Tapi apabila Emir berdiri di hadapanku, tidak pula aku melarikan diri darinya. Ah! Kenapa dengan aku ni?
       “Suri, Emir minta maaf. Emir bukan sengaja datang lambat. Emir… Emir…” Aku sengaja memasamkan muka. Walaupun hati mahu tergelak melihat mimik muka Emir yang serba salah itu, aku tahan juga. Aku nak tengok sejauh mana lelaki nerd pandai memujuk. Yalah, barulah dapat ukur sejauh mana keromantikan seorang lelaki yang berstatus nerd!
Sambil menundukkan kepalanya, Emir berterus terang. Dan aku pula tertawa kecil  mendengar penjelasan dari Emir itu. Tak sangka di sebabkan oleh hal itu dia boleh datang lambat.
       “Tadi Emir sakit perut. Memulas-mulas perut Emir. Emir dah keluar dari kelas pukul lima. Tapi sebab sakit perut sangat Emir pergilah tandas dulu. Kalau Suri marah dengan Emir, Emir minta maaf. Lain kali Emir tak buat lagi. Kalau Emir sakit perut, Emir tahan aje. Emir janji…” Emir angkat tangan aku janji. Tak sampai hati pula untuk aku marahkan dia. Untuk apa aku marahkan dia lebih-lebih. Dah dia sakit perut. Takkan nak tahan pulak.
       “Kalau betul Emir sakit perut takpelah. Suri tak marah. Cuma lain kali jangan buat Suri menunggu. Suri ni bukan penunggu okey! Dahlah, jatuhkan tangan ni. Suri dah maafkan Emir.” Saat itu barulah dia berani memandang mukaku.
Aku tersenyum ke arahnya. Dia juga senyum. “Betul Suri tak marah?” Emir tanya agak takut-takut. Aku angguk kepala penuh yakin.
       “Suri tak suka marah-marah. Suri ni baik, kan? Haha…” Aku ajak Emir masuk ke dalam kereta. Takkan nak berborak kat sini sampai malam. Kalau macam tu, rosaklah plan aku nak mentransformasikan Ku Emir Affan! No,no,no! Aku harus jalankan rancangan aku hari ini juga. Kalau tak, mungkin dah tak berpeluang lagi lepas ni. Aku juga yang melepas…
       “Kita nak pergi mana ni, Suri?” tanya Emir sebaik saja enjin kereta kuhidupkan. Tali pinggang keselamatan kusarung ke tubuh. Emir juga ikut memakai tali pinggang keselamatannya. Dia masih menunggu jawapan dari aku.
       “Temankan Suri shoppinglah. Ke Emir dah lupa.” Stereng kereta kubelok ke kanan, keluar dari perkarangan kolej.
       Shopping kat mana?” tanya Emir lagi. Haisy! Banyak tanya pula mamat ni hari ni.
       Shopping kat tempat favourite Surilah. Kat sana nanti, kita shopping dulu. Lepas tu kita pergi salon. Lepas tu, kita pergi makan. Lepas tu, baru kita balik. Faham?” Satu persatu plan yang aku rancang aku jelaskan pada Emir. Kalau dia tak faham, aku tak tahulah nak cakap apa lagi.
Kali ini Emir tak bertanya lagi. Dia hanya angguk kepala sambil pandangannya terlontar ke luar memandang pemandangan ibu kota yang ditumbuhi oleh pokok-pokok hutan konkrit. Sepanjang perjalanan, kami hanya mendiamkan diri. Yalah, aku ni manalah boleh bercakap banyak time memandu. Kalau aku cakap banyak, sah-sah fokus aku terganggu. Pernah dulu, aku bercakap dan bergelak tawa dengan geng-geng SUSOSUku dalam kereta. Akibatnya, fokus aku hilang dan aku hampir melanggar orang yang sedang melintas jalan. Nasib baik tak jadi langgar. Kalau tak, dah lama muka cun aku masuk surat khabar muka depan. Hehe…

************

Pusat membeli-belah Alamanda menjadi pilihan. Sejak dari kecil, aku suka melepak kat sini. Papa dan mama memang suka bawa aku ke tempat ni. Bila dah remaja, aku datang sini seorang diri. Saat itulah aku bertemu dengan Suzi. Perkenalan kami terjalin sejak dari dulu lagi.
       “Halo tauke! Duduk termenung aje nampak. Macam mana mau untung ma.” Suzi yang duduk melangut depan komputer pantas mendongak muka. Dia tersenyum mencebik ke arahku. Pasti dia meluat dengan lawak jenaka yang tak berapa nak lawak yang aku hadiahkan pada dia tadi.
       Ayo madam. Ini kedai sudah mau tutup ma. Gua ada keleja mau buat ma.Lu olang boleh pegi lain kedai. Pegi-pegi. Jangan datang lagi.” Tergelak besar aku mendengar lawak seposen Suzi. Suzi kalau dah speaking Cina memang kelakar habis. Berair mataku gelakkan Suzi. Tanpa dipelawa, aku melabuhkan duduk di hadapannya.
       “Kau ni memang takde kerja kan. Asyik dengan twitter kau ni. Macamlah seronok sangat. Pergilah cari pelanggan ke apa ke.” Sengaja aku membebel di cuping telinga Suzi. Sudah agak lama kami tidak berjumpa. Erm, hampir seminggu. Haha… Seminggu pun dah lamalah tu. Kalau dulu, hari-hari aku jumpa Suzi. Lepak kat salon dia ni.Walaupun Suzi lebih tua tiga tahun dari aku, tapi perangai gila-gila kami tetap sama. Bila aku masuk kolej, aku berkenalan pula dengan minah mata keranjang, Sofiya. Bila aku, Suzi dan Sofiya bergabung memang meletup habis! Seronok aku dapat berkawan dengan mereka.
       “Kau jangan sibuklah minah. Ini kerja part time aku. Kau apa tahu?” Mata Suzi bergerak menatap jasad Emir yang masih berdiri di sebelah aku. Turun naik matanya memerhatikan Emir yang sedang tertunduk malu.
       “Ehem-ehem. Mamat mana pulak ni? Bf baru kau ke?” Bisikan Suzi menyapa ke telingaku.
Agak terkedu aku dengan telahan Suzi. Macam tahu-tahu aje. Hek! Nampak sangat Suzi terlalu memahami diri aku. Senanglah kalau macam ni. Tak payah aku nak corner-corner lagi.
       “Kenalkan ini Emir. Emir, ni Suzi. Kawan baik Suri. Bff Suri selain Sofiya.” Emir hanya tersenyum memandang Suzi. Senyumannya yang seketika mampu buat Suzi terdiam membisu.
Melihat mulut Suzi yang melopong luas, aku sengaja menyiku lengannya. Amboi,amboi, amboi! Pantang nampak lelaki dahi empat segi wajib terus tengok lama. Hisy!
Tanpa kata Suzi menarik aku mengikutnya. Dibawanya aku jauh dari Emir. Sambil tak lepas memandang Emir, Suzi membisikan sesuatu yang telah diucapkan oleh Sofiya semalam saat pertama kali tengok muka Emir yang sebenarnya.
       “Lelaki mana pulak kau bawa ni, Yana. Comelnya. Bukan-bukan. Handsome kut. Kau jumpa kat mana mamat ni? Kenalkanlah aku dengan dia, beb.” Tersengih-sengih Suzi memandang Emir. Emir pula dengan naifnya membalas sengihan Suzi dengan senyuman mahalnya. Ah! Jealous aku tengok. Erk…
       “Fiya tak cerita apa-apa ke kat kau? Hmm? Mustahil dia tak roger-roger kau.” Melihat Suzi masih bermain mata dengan Emir, aku sengaja berdiri di hadapan Suzi. Sengaja aku menghalang pandangannya dari terus bermain mata dengan bakal teman lelaki aku tu. Tengoklah sendiri. Bukan aku dengan Sofiya aje yang perasan tentang kekacakan dan kecomelan Emir si nerd, tapi Suzi juga perasan perkara yang sama. Itu sudah terang-terang menunjukkan bahawa Emir memang seorang lelaki yang kacak. Walaupun dia berselindung di sebalik rambut Abu Bakar Elahnya dan kaca mata tahap kanta pembesarnya itu, kekacakan seorang lelaki sejati masih lagi terserlah!
       “Maksud kau mamat ni mamat nerd yang Fiya…” Aku pantas angguk kepala. Aku cukup yakin bahawa Sofiya telah berjaya menceritakan apa yang terjadi antara kami kepada Suzi dengan jayanya. Jadi tak perlulah lagi aku kepoh-kepoh cerita pada Suzi.
Suzi geleng kepala berulang kali. Tak faham pula aku dengan maksud gelengan kepala dia tu.
       “Parah macam ni. Kalau mamat nerd boleh sehandsome ni, aku pun naklah weh! Kau hati-hati, Yana. Jangan sampai kau syok betul-betul kat dia.” Pap! Pantas tangan aku melekap pada mulut Suzi. Tajam mataku jegilkan padanya. Gila ke apa cakap pasal plan besar aku tu kat depan Emir. Rosak strategi aku nanti Suzi oi!
       “Hisy, lepaslah… Kau ni dah kenapa, Yana? Main tutup-tutup mulut orang pulak. Habis gincu aku.” Suzi menangkis tangan aku dari terus menekup mulutnya. Sibuk dia melihat ke cermin kalau-kalau gincunya dah comot.
       “Kaulah. Mulut takde insurans ke? Emir ada kat depan tulah. Agak-agaklah. Rosak plan aku nanti.” Aku bercakap sambil tersenyum manis ke arah Emir. Emir yang berdiri di hujung kaunter tersenyum-senyum ke arahku. Nasib baik jauh. Kalau tak, pasti Emir dengar apa yang Suzi cakapkan tadi.
       “Tapi Yana. Aku takut permainan ni memakan diri kau. Macam klise aje kisah kau ni. Mula-mula kau main-main cintakan dia. Lepas tu kau betul-betul jatuh cinta dengan dia. Lepas tu apa? Kau kahwin dengan dia then dapat anak. Klise kut.” Suzi menonong meninggalkan aku di situ. Dia bergerak mendapatkan Emir yang masih setia menunggu di kaunter.
Kata-kata Suzi buat aku terdiam dan berfikir panjang. Sofiya pun cakap perkara yang sama. Macamlah aku tak pernah mainkan perasaan lelaki. Macamlah mereka tak tahu  perangai aku. Suriyana tak mudah jatuh cinta dengan dia. Kalau suka, memanglah pernah. Tapi sejak aku tertipu dengan Haikal, cinta sudah hilang kemanisannya dalam hati aku. Bagi aku cinta yang abadi hanya pada lelaki yang halal untuk aku. Iaitu suami aku. Jadi, tak sepatutnya timbul persoalan ini bila aku nak jadikan Emir sebagai teman lelaki aku yang baru. Entah kenapa Sofiya dan Suzi asyik mengkata aku akan jatuh cinta dengan Emir. Apa entah keistimewaan Emir tu. Setakat kacak takkan menjamin kebahagiaan sesebuah hubungan.
 Baru jumpa dah cakap aku akan jatuh cinta dengan Emir. Aku cintakan Jimmylah. Jimmy! Aku akan goda Jimmy untuk jadi steady boyfriend aku. Kalau ada jodoh dengan dia, kami akan kahwin. Pada saat itu, Emir dah tak boleh halang kami lagi. Bukan. Emir bukan siapa-siapa untuk menghalang hubungan aku dengan Jimmy. Dia bukan siapa-siapa. Jadi takkan timbul isu aku akan jatuh cinta dengan dia. Jimmy matlamat aku. Jimmy!

**********

Beberapa jam kemudian…
Setelah dipujuk dan dirayu, akhirnya Emir setuju untuk mentransformasikan dirinya. Penat aku pujuk dia tau. Susah juga nak meyakinkan lelaki nerd ni. Tapi berkat kata-kata semangat dari aku dan Suzi, terbuka hati Emir untuk memake-over dirinya. Sekarang, aku sedang menunggu dia untuk melihat hasil make-over yang dilakukan oleh Suzi. Panjang berjela tazkirah yang aku bagi pada dia tadi.
       “Emir, inilah peluang untuk buktikan pada semua yang Emir mampu berubah. Emir ada rupa tau. Kacak, comel. Kenapa nak sia-siakan semua tu.” Bukan main lagi aku memujuk. Macam tengah pujuk budak darjah satu. Hek!
Berkelip-kelip mata Emir memandang aku dan Suzi. Dia geleng kepala.
       “Emir selesa jadi diri Emir sendiri. Kalau Suri malu nak kawan dengan Emir sebab Emir tak ada gaya, Emir… Emir takkan munculkan diri depan Suri lagi.” Emir bangun dari kerusi. Serentak itu aku tarik tangannya memaksa dia duduk kembali. Ah! Tak habis-habis emo mamat ni. Hisy!
       “Bukan tu maksud Suri.” Aku jeling Suzi di sebelah. Dapat aku cam kebingungan yang melanda diri perempuan itu. Mungkin dia pelik kenapa aku bahasakan diri aku Suri.
       “Suri?” Bisikan Suzi menyapa ke cuping telingaku. Pantas aku menyiku perutnya. Hisy! Sibuk aje.
       “Emir, dengar sini. Suri ikhlas nak kawan dengan Emir. Kan Suri dah cakap Suri tak kisah kawan dengan siapa-siapa saja. Yang penting kawan Suri tu baik hati dan mampu jaga persahabatan kami dengan baik. Emir kawan Suri. Suri cuma nak tengok ada perubahan dalam diri Emir. Bukan bermakna Suri tak suka apa yang ada pada diri Emir. Ya, memang kita baru kenal. Dan Suri sedar Suri tak layak nak paksa-paksa Emir macam ni. Tapi… pernah tak Emir fikir kalau Emir berubah penampilan pasti Emir akan lebih yakin dan pasti lebih ramai yang suka berkawan dengan Emir. Dan tak mustahil, Emir akan jumpa dengan wanita yang Emir suka. Kan?”
Fuhh! Penat betul aku pujuk dia. Kalau hati dia tak tergerak nak berubah aku tak tahu lagi nak cakap apa dah. Angkat bendera putihlah jawabnya.
Emir masih blur. Kepalanya tertunduk mungkin sedang berfikir. Aku kerling Suzi dan meminta dia agar turut sama memujuk Emir. Pujuklah dia! Bibirku bergerak-gerak tanpa mengeluarkan suara. Faham dengan maksud aku, segera Suzi menjalankan tugasnya.
       “Emir, rugi tau kalau Emir sia-siakan muka kacak Emir ni. Pasti ada sebab kenapa Allah bagi Emir wajah kacak. Jadi, kenapa Emir nak sia-siakan anugerah dari Allah ni. Emir cuba dulu gaya baru ni. Kalau Emir tak selesa Emir boleh kembali ke gaya asal. Belum cuba belum tahu kan?” Kata-kata Suzi aku sambut dengan anggukan.
       “Betul tu Emir. Kalau Emir tak selesa dengan gaya baru, Emir boleh jadi diri Emir yang dulu. Ini bukan soal gaya atau penampilan. Tapi keyakinan Emir yang lebih penting. Bila kita yakin, orangpun akan yakin pada kita. Suri yakin Emir mampu berubah menjadi Emir yang baru. Emir yang lebih yakin dan lebih stylo.” Bahu Emir kutepuk-tepuk. Keyakinan kuberi padanya.
Emir mendongakkan muka memandang aku. Kami saling berbalas pandangan. Dia tersenyum nipis. Adakah itu satu petanda yang baik? Hati aku mula berdebar.
       “Siapa pun Emir Suri akan tetap kawan dengan Emir, kan? Walaupun Emir lelaki nerd yang tak pandai nak bergaya, Suri tetap suka kawan dengan Emir, kan?” Pertanyaan Emir buat aku membisu. Lama aku berjeda. Kenapa dia suka sangat tanya soalan macam tu kat aku. Adakah dia tahu yang aku hanya berpura-pura suka berkawan dengannya? Tak mungkin. Kalau macam ni, aku harus lebih memantapkan lakonan!
       “Suri janji. Siapa pun Emir, Emir tetap akan jadi kawan Suri. Perubahan ni bukan untuk Suri tapi untuk Emir. Kalau Emir tak nak buat, Suri tak kisah. Lakukan semua ni sebab Emir. Bukan sebab Suri suruh.” Aku bangun. Tak sangka susah betul nak yakinkan Emir ni. Hisy! Merajuklah kalau macam ni.
       “Suzi, aku minta diri dulu. Emir jom kita balik.” Kucapai beg tangan di atas meja. Sengaja aku menseriuskan muka. Walhal dalam hati sedang meronta-ronta menunggu Emir menghalang aku dari pergi. Minta-mintalah Emir terbuka hati nak make-over hari ni. Kalau tak…
       “Suri, Emir dah sedia,” ujar Emir sebelum sempat aku melangkah. Aku palingkan muka memandang ke arahnya. Dia menganggukkan kepala penuh yakin. Senyuman manisnya terlakar indah.
       “Suri…” Lamunan panjangku terganggu dek panggilan seram itu. Bukan aku tak sedar suara siapa yang memanggil aku dengan panggilan special itu.
       “Kau jangan nak main-mainlah Suzi. Aku gigitkan baru tahu. Hisy!” Amarahku buat Suzi tergelak.
       “Kau ni aku nak bergurau pun tak boleh. Aku happy sangat sekarang. Sebab aku rasa aku dah temui bidadara yang paling kacak in the universe. Beruntungnya kalau aku dapat dia.” Aku tak faham maksud Suzi yang entah apa-apa merapu tu. Tak sempat aku bertanya lanjut, tirai langsir bilik persalinan diselak perlahan oleh Suzi. Mataku terarah memandang ke arah bilik persalinan itu.
Suasana jadi hening buat seketika. Bagaikan saat itu hanya ada aku dan dia sahaja. Mata aku dan mata Emir saling berlaga. Senyuman menawannya buat aku tertawan. Dan jantung aku. Jantung aku berdegup kencang saat itu. Adakah benar Emir si nerd yang berdiri di hadapan aku sekarang? Atau bak kata Suzi, jelmaan bidadara yang paling  kacak in the universe yang sedang memandang tajam ke arahku?
       “Kenapa Suri tengok Emir macam tu?” Suara garau Emir mengejutkan aku dari khayalan. Pantas aku melarikan pandangan entah kenapa. Aku jadi malu pula untuk membalas renungan matanya.
       “Ehem-ehem! Takkan dah jatuh hati kut,” ucap Suzi sambil melintas di hadapanku. Dia bergerak meninggalkan aku dengan Emir di ruang itu.
Mangkuk hayun punya Suzi! Sengajalah tu cakap macam tu. Tapi… kalau aku betul-betul jatuh hati dengan Emir yang baru ini bagaimana? Emir yang aku kenali beberapa hari yang lalu bagaikan sudah hilang. Kini, berdiri di depanku seorang lelaki yang tidak aku kenali siapakah gerangannya. Kacak dan penuh karisma. Baju kemeja warna ungu lembut yang tersarung kemas pada tubuh Emir kelihatan sedang elok dipakainya. Seluar slack hitam dipadankan dengan tali pinggang warna putih memang menaikkan lagi nilai maskulin Emir. Rambut. Rambut paling aku suka tengok. Tiada lagi rambut Abu Bakar Elah. Gaya potongan rambut maskulin benar-benar sesuai dengan Emir. Cair hati aku melihat keindahan Tuhan ini. Subhanallah! Kacak gila kut!
       “Emir suka dengan gaya baru Emir ni. Emir… Emir lebih yakin sekarang, Suri. Terima kasih. Terima kasih sebab percayakan Emir. Percaya Emir mampu untuk berubah. Terima kasih, Suri…” Kata-kata Emir buat hati aku jadi terharu. Betapa besarnya penghargaan Emir terhadapku. Apalah sangat yang aku dah buat. Transformasi ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebahagian dari rancanganku. Untuk berdamping dengan aku, seseorang lelaki itu harus kacak dan bergaya. Sebab itulah aku merayu pada Emir untuk dia melakukan transformasi ini. Dan sekarang dia boleh ucap terima kasih pada aku? Hmm… Tiba-tiba rasa bersalah hadir dalam hati.



Bab 4 : Suri Di Hatiku




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani....


BAB 4

       “Yana… Mari sarapan dulu, sayang. Mak dah siapkan bihun goreng kesukaan Yana ni.” Teguran Mak Limah buat langkahku terhenti. Aku berdiam diri tanpa berpaling ke arahnya. Rajuk semalam masih bersisa. Beginilah aku setiap kali aku merajuk dengan ibu angkat aku itu. Wajib merajuk sehari atau dua hari. Kadang-kadang melarat sampai seminggu.
       “Yana…” Dapat aku rasa tanganku digamit Mak Limah. Pasti perempuan tua itu ingin menjalankan proses memujuk. Ah! Yana terasa hati benar dengan teguran mak semalam. Macam Yana ni jahat sangat. Aku mengomel dalam hati sendirian.
Tangan Mak Limah aku tepis perlahan. Tanpa memandang wajahnya, aku terus menyarung kasut tumit tinggi yang terletak di atas kabinet. Cepat-cepat aku melangkah keluar dari pintu pagar. Mujurlah saat itu Emir sudah menunggu aku di luar kereta. Dengan gentlemannya dia membuka pintu kereta. Aku menghadiahkan senyuman nipis padanya. Terus aku masuk ke tempat duduk penumpang.
Tak menunggu lama, aku meminta Emir cepat-cepat menghidupkan enjin kereta. Dia hanya menurut. Dari cermin sisi, dapat aku lihat Mak Limah berdiri di hadapan pintu pagar. Dari air muka perempuan tua itu bagaikan tersirat rasa kecil hatinya terhadap sikapku tadi. Ah! Sekarang aku yang merajuk dengan mak. Mak sepatutnya tahu aku yang terasa hati dengan dia. Aku cuba menangkis rasa bersalah yang tiba-tiba muncul dalam hati. Sungguh aku benci  memulakan hari aku dengan tekanan perasaan seperti ini. Stress!
       “Suri okey?” For the first time, Emir terlebih dulu bertanyakan soalan pada aku. Aku paling muka memandang wajahnya.
       “Emir tanya apa?” Hati aku tiba-tiba jadi cair. Suara dia menenangkan aku. Hilang sedikit gundah-gulana yang aku rasai tadi.
       “Suri okey?” tanya dia sekali lagi. Mataku tak lepas menatap mukanya. Kepala aku geleng beberapa kali. Terluah keluhan berat dari bibirku.
       “Suri gaduh dengan mak,” ujarku tanpa berselindung. Kuluahkan masalah yang sedang membelenggu diriku padanya. Pada lelaki yang baru tiga hari aku kenal. Masak-masak. Tak sangka aku boleh kongsi masalah dengan Emir. Entah aura apa yang ada pada mamat nerd ni. Wajah dia, senyuman dia, suara dia… Semuanya bersatu dan menjadi element untuk menenangkan aku. Membuat aku selesa berbicara dengannya.
       “Kenapa boleh sampai gaduh dengan mak? Kan tak baik gaduh-gaduh.” Kata-kata Emir buat aku terkedu. Wah… pandai juga lelaki ni berkata-kata ya. Siap beri nasihat lagi.
Kereta yang dipandu Emir memperlahankan rentak. Aku tak pasti kenapa Emir harus memarkirkan kereta kami di birai jalan. Atau dia nak buat sesuatu yang tak elok pada aku?
        “Cuba cerita pada Emir. Apa yang sebenarnya dah terjadi antara Suri dan mak Suri tu. Kalau Suri keberatan, tak payahlah cerita.” Kali ini kami bertentang mata. Suasana dalam kereta yang dingin disimbahi penghawa dingin tiba-tiba rasa hangat. Bahangnya menyerbu ke mukaku. Tak sanggup aku membalas renungan mata Emir yang ku rasa cukup menggoda itu. Akhirnya aku buka pintu dan keluar dari kereta. Oksigen kuhirup sebanyak mungkin. Ya Allah, apa yang aku rasa ni.
       “Suri okey? Suri tak apa-apa?” Menggelabah Emir keluar mendapatkan aku. Aku cuba menenangkan diri. Senyuman manis yang dibuat-buat kuhadiahkan padanya.
       “Okey. Sangat okey.”
       “Kalau okey kenapa Suri keluar dari kereta? Suri… Suri nak buang angin ke?”
Tawa lucu tiba-tiba meletus dari bibirku. Takku sangka Emir seberani itu membuat andaian. Memalukan betul.
       “Apa Emir ni. Mana ada. Hisy, malulah macam ni. Ada ke cakap Suri nak kentut.” Hati aku lapang kembali. Emir berjaya buat aku hilangkan sedikit keresahan yang melanda hatiku sebentar tadi. Lawak jugak mamat ni.
       “Emir tak guna perkataan kentut tu. Suri yang guna. Jadi betullah Suri nak kentut ya?” Emir tertawa kecil. Aku jengilkan mata ke arahnya.
       “Hisy! Dahlah… Apasal pulak nak cakap pasal kentut-kentut. Tak senonoh. Hmm… tak sangkalah Emir macam ni.” Aku cuba alih topik. Tak kuasa aku nak bercakap mengenai isu buang angin tu. Apa kes?
       “Macam ni macam mana?” Emir bertanya sambil garu kepala.
       “Tak sangka Ku Emir Affan seorang yang pandai buat lawak. Yalah Suri tengok Emir ni macam serius aje. Tapi takdelah serius sangat sebab Suri tengok Emir jugak suka senyum. Entahlah. Suri rasa Suri belajar perkara baru tentang Emir hari ni.” Kata-kata itu lahir dari hati aku yang ikhlas. Takku sangka Emir seorang lelaki yang suka buat lawak dan banyak jugak cakapnya. Takdelah pendiam dan pemalu sangat.
       “Dan Emir juga tak sangka Suri ni seorang yang ramah dan mesra. Ingatkan Suri hanya pilih orang untuk berkawan.” Tak berapa aku nak faham ayat Emir itu.
       “Maksud Emir?” Ku ajukan soalan itu padanya sambil jungkit kening.
Emir sempat membetulkan kaca mata tahap kanta pembesar yang dipakainya sebelum bersuara. Dia senyum lagi. Dan aku sangat suka melihat senyumannya.
       “Maksud Emir, Emir ingat Suri tak sudi berkawan dengan lelaki nerd macam Emir ni. Erm, kita kawan kan? Atau Emir aje yang perasan?” Gulp! Aku telan liur. Aku rasa Emir ni layak jadi peguamlah. Soalan dia memang power-power. Kurasakan seperti aku ini seorang pesalah yang sedang disoalsiasat oleh peguam hebat. Bagaimanalah dia boleh terfikirkan perkara itu. Sedangkan aku mula dah lupa mengenai misi utama aku itu.
Sah-sah aku tak sudi nak berkenalan dengan lelaki nerd macam dia. Aku terpaksa. Terpaksa sebab aku dah terima cabaran dari Sofiya. Ah… Tapi kenapa sekarang aku rasa seronok pula kenal dengan dia. Ada sesuatu dalam diri Emir yang buat aku rasa senang berada di sampingnya sekaligus menjadi sahabatnya. Hmm…
       “Emir memang perasan pun. Emir ingat Suri nak sangat ke kawan dengan Emir? Hmm?” Kata-kataku berjaya buat air muka Emir berubah 360 darjah. Terkejut baboon dia detik itu.
       “Teruknya muka Emir bila terkejut. Hehehe…” Aku tersengih lebar. Aku yakin, sangat yakin dia benar-benar terkejut dengan jawapan yang aku berikan tadi. Tak mungkin aku berterus terang dengannya mengenai perkara yang sebenar. Cabaran tetap cabaran. Misi tetap misi. Misi aku tetap sama. Akan aku gunakan dia untuk dapatkan Jimmy.
       “Suri ikhlas nak berkawan dengan Emir. Selama ni pun Suri tak tahu kenapa lelaki suka pandang Suri ni macam Suri ni memilih kawan sangat. Suri nak aje kawan dengan siapa-siapa.Tak kisahlah macam mana pun keadaan dia.” Aku harap jawapan yang aku berikan berjaya menerbitkan rasa percaya dalam hati Emir. Kalau tak, habislah aku…
Lama Emir pandang muka aku. Malu aku dibuatnya.
       “Betul Suri ikhlas kawan dengan Emir?” Buat sekian kalinya dia bertanya. Aku angguk kepala dengan penuh yakin.
       “Salam perkenalan Ku Emir Affan. Saya Intan Suriyana. Panggil aje Suri.” Tanganku hulurkan padanya. Siap dengan pakej sebuah senyuman paling manis untuknya.
Agak ragu-ragu untuk Emir menyambut huluran tanganku. Dia hanya tersenyum tanda menyahut jabat tanganku.
       “Salam perkenalan Suriyana. Saya Ku Emir. Panggil Emir aje.” Aku sedikit terkedu. OK. Emir tak salam dengan perempuan. Apa-apa ajelah. Aku tak kisah. Yang penting dia dah mula percayakan aku.
Kami akhirnya sama-sama berbalas senyuman mesra. Jalinan persahabatan sudah termetrai. Kini, Emir sah menjadi kawan aku. Tak lama lagi, akan aku goda dia sampai dia sah menjadi teman lelakiku. Dan selepas itu, misi aku akan selesai. Tapi perjalanan masih jauh. Untuk nampak lebih real, aku harus memantapkan lakonanku untuk ‘mencintainya’.
‘Maafkan Suri, Emir. Suri terpaksa buat semua ni. Hati Suri hanya ada Jimmy. Suri sanggup lakukan apa saja untuk dapatkan dia.’ Hati aku berbisik bersalah.

************

Mata tak mampu kualihkan dari terus memandang ke arah Emir yang sedang beratur panjang untuk membeli sarapan untuk aku. Dia sendiri yang menawarkan diri untuk belikan aku sarapan. Al kisahnya, dalam kereta tadi aku merungut lapar. Yalah semalam dahlah aku makan sikit. Pagi tadi manalah aku breakfast. Jual mahal sangat dengan Mak Limah. Alih-alih perut aku jugak yang ‘bergangnam-style’ sekarang.
       “Hai Cik Suri senyum lebar nampak.” Suara haski yang kedengaran di cuping telingaku itu cukup aku kenal. Pantas aku berpaling ke arah Sofiya yang sudah duduk berdepan dengan aku.
       “Senyum tukan satu sedekah. Apa salahnya aku nak bersedekah pagi-pagi ni. Kedengki? Hek!” Aku cuba menyibukkan diri membelek buku rujukan yang berada di hadapanku. Tiba-tiba aje belek buku. Apa kes Yana oi!
       “Amboi, amboi, amboi… Dah pandai bercakap soal agama sekarang dengan aku. Mesti pakwe kau yang ajar, kan? By the way, dia dah sah ke jadi pakwe kau?” soal Sofiya sambil menjuihkan bibir tebalnya ke arah Emir yang masih beratur panjang di kaunter. Sah! Sah Sofiya tengah buat spotcheck. Mesti dia nak siasat sama ada aku ni dah berjaya pikat Emir atau belum.
Wajah kupalingkan ke belakang memandang ke arah Emir. Kami berdua saling berbalas senyuman mesra.
       Soon, Fiya. Very soon. Nanti aku akan kenalkan kau dengan dia. By that time, dia dah sah jadi bf aku. Kau tunggulah. Kenapa? Dah tak sabar ke nak lepaskan Jimmy pada aku?” Dengan agak berani aku bersuara. Sekarang, aku dah tak berselindung lagi tentang perasaan aku pada Jimmy. Aku harap Sofiya faham apa yang terbuku dalam hatiku.
        “Wow statement berani mati. Sebelum aku lepaskan Jimmy, aku sebenarnya lebih tak sabar nak tengok kau putus dengan budak nerd tu. Come onlah, Yana. Lelaki macam tu pun takkan kau tak boleh masuk jarum lagi. Penatlah aku nak menunggu nanti.” Sofiya tersenyum  mengejek. Matanya galak memerhatikan Emir di hujung sana. Entah kenapa dengan Sofiya hari ini. Kata-katanya seakan-akan ingin mencari gaduh dengan aku. Adakah Sofiya berat hati nak melepaskan Jimmy?
Baru saja aku nak membalas kata-kata Sofiya, kami disapa Emir yang baru muncul. Di tangannya ada sedulang minuman dan sandwich.
       “Ini sandwich Suri. Ini yang Emir punya. Dan ini untuk kawan Suri. Silakan cik…” Agak malu-malu Emir menghulurkan sekeping sandwich dan secawan air kopi untuk Sofiya. Aku sempat memerhatikan riak wajah Sofiya saat itu. Dan matanya terbuka luas apabila melihat muka Emir yang sah-sah kacak lagi cute itu!
       “Terima kasih, awak.” Tak semena-mena suara Sofiya jadi kendur. Bagaikan saat itu dia sudah terpukau dengan Emir. Ceh! Sofiya memang mata keranjang. Pantang nampak lelaki dahi empat segi. Hek!
       “Emirrrr…” Aku panggil Emir dengan manja. Memaksa Emir memandang ke arahku. Hanya aku. Jangan nak mengada pandang Sofiya gedik kat depan ni.
       “Lepas kuliah nanti, Emir temankan Suri pergi shopping eh. Suri nak shopping baju baru. Boleh tak? Kalau tak boleh, Suri paksa jugak Emir ikut Suri.” Lengan Emir ku gongcang kemas. Tak bersentuh kulit pun ya. Emirkan berkemeja lengan panjang. Ngeh!
Jelingan bangga kuhadiahkan pada Sofiya. Kan aku dah cakap, Fiya. Emir akan jatuh dalam genggaman aku very soon. Very-very soon. So, kau jangan nak mengada mengurat bakal teman lelaki aku ni. Ugh! Omelku dalam hati kegeraman.
       “Korang berdua ni ada apa-apa ke? Mesra semacam aje aku tengok,” ucap Sofiya penuh dengan lakonan mantapnya. Dia tersenyum penuh makna pada aku. Mungkin dia sengaja nak uji aku.
Saat itu, Emir tak banyak membantu. Dia hanya tertunduk malu. Mungkin dia segan apabila ada orang salah anggap antara kami. Aku pasti, Emir tak pernah menghadapi keadaan seperti ini. Buktinya dia betul-betul malu-malu kucing sekarang.
       “Teman tapi mesra, Fiya. By the way, Suri lupa nak kenalkan kawan Suri ni pada Emir. Ini Sofiya. Kawan baik Suri. Bestfriend forever Suri…” Laju saja Sofiya menghulurkan tangan nak bersalam dengan Emir. Aku hanya mampu geleng kepala melihat sikap Sofiya. Hesy! Nampak sangat dah terpikat.
Namun, Emir yang penuh dengan ciri-ciri lelaki soleh, hanya tertunduk tersenyum pada Sofiya. Mungkin itulah tanda dia ‘bersalam’ dengan Sofiya. Bukan muhrim mana boleh bersalam, beb!
Aku tersenyum seorang diri. Kesian Sofiya syok sendiri.
       “Aku rasakan Yana. Kalau korang couple, memang gempak habis. Yalah kaukan cantik. Emir pulak handsome. Serius cakap, awak memang cutelah Emir. Tak sangka awak secute ni.” Pergh! Itulah ayat menggoda Sofiya yang paling basic. Aku dah masak sangat dengan perangai kasanova si anak Dato’ Mukhriz ni.
       “Dah,dah,dah… Kau jangan nak mengarut, Fiya. Kita dah lewat nak masuk kelas ni. Nanti Cik Jijah Diva tu naik hantu lagi haru kita. Jomlah masuk kelas.” Aku pantas bangun dari kerusi. Minuman dan sandwich yang dibeli Emir tak lupa aku capai.
       “Emir, Suri masuk kelas dulu ya. Jangan lupa tau. Lepas kuliah nanti kita keluar. Temankan Suri okey? Bye-bye.” Emir tersenyum seraya angguk kepala. Mungkin itulah tanda persetujuan darinya.
Sofiya yang masih duduk terus terpaku memandang Emir. Bagaikan tak dengar langsung ajakan aku tadi. Dengan agak sentap, aku tarik lengan Sofiya memaksa dia mengikut. Dan akhirnya bagaikan orang baru sedar dari kena pukau, dengan bingung Sofiya mengikut. Sempat dia melambai tangan kepada Emir. Dan Emir dengan lurus bendulnya, membalas lambaian menggoda dari Sofiya itu. Tak semena-mena aku rasa cemburu.

********

       “Gila tak handsome! Aku tak sangka mamat tu ada ciri-ciri ‘kehandsomeman’. Hisy, memang tak sangka betullah.” Pujian dari Sofiya yang melambung tinggi buat aku tersenyum bangga. Tengoklah bakal pakwe siapa. Yana gitu!
       “Itulah mula-mula aku pun terkejut macam kau jugak. Aku tak sangka di sebalik rambut Abu Bakar Elah dia tu tersembunyi wajah kacak macam model. Hmm… dah rezeki aku, Fiya. Kau jangan nak jealous pulak.” Seronok betul aku dan Sofiya berborak. Walhal, di hadapan kami sedang berlangsungnya kelas Cik Jijah Diva. Bercakap pun berbisik-bisik dah ni.
       “Bukan jealous cuma aku risaukan kau tu,” ucap Sofiya penuh makna. Dan aku tak berapa nak faham maksud sebenar Sofiya. Risaukan aku? Apasal pulak?
       “Maksud kau? Nak risaukan aku buat apa. Tak fahamlah aku.” Perasan Cik Jijah memandang ke arah kami, aku dan Sofiya buat-buat sibuk menulis. Fuhh! Selamat!
Apabila keadaan mula stabil, Sofiya menyambung kata. Dan aku pasang telinga tanpa memandang ke arahnya.
        “Aku risau takut-takut kalau kau tu betul-betul jatuh hati dengan dia nanti. Kau tu bukan aku tak tahu. Pantang nampak lelaki kacak. Kau dengan aku, dua kali lima aje, Yana.”
Kebenaran kata-kata yang terluah dari bibir Sofiya cuba aku cari. Dan aku menemuinya. Benar kata Sofiya. Aku memang mudah jatuh hati pada lelaki kacak. Kerana itulah kesemua lelaki yang pernah menjadi teman lelaki aku semuanya kacak-kacak. Tapi berlainan dengan kes Emir. Pada mulanya aku ingatkan dia lelaki nerd yang hodoh tapi rupa-rupanya… hmm… Dan kalau gara-gara kekacakannya buat aku jatuh hati padanya, itu pasti akan merencatkan misi aku. Tapi tak mungkinlah aku jatuh cinta pada dia. Aku cintakan Jimmy. Jimmy adalah target aku. Bukan Emir. Bukan sesiapa!
        “Ah, mengarut aje kau ni, Fiya. Kau tahukan aku hanya pergunakan dia. Hati aku ni hanya aku siapkan untuk mencintai Jimmy. Jimmy lagi handsome dari Emirlah.”
Jawapan yang aku berikan jauh menyimpang dari apa yang aku rasa dalam hati kecilku ini. Pertama, sememangnya Emir jauh lebih kacak dari Jimmy. Kerana apa? Kerana Jimmy tu muka ala-ala Bangla aje. Entah tang mana aku minat sangat kat Jimmy tu aku pun tak tahu. Dan yang kedua, betul ke aku ni cintakan Jimmy? Entah-entah aku juga dah tertipu dengan diri aku sendiri. Melihat Sofiya bahagia dengan Jimmy mungkin dah menimbulkan rasa cemburu dalam hati aku. Mungkin sebab itu aku nak rampas Jimmy dari Sofiya. Ah! Tak mungkin. Takkanlah aku jahat sangat?
Tidak! Aku memang betul-betul cintakan Jimmy. Aku cintakan Jimmy. Aku cintakan Jimmy. Aku cintakan Jimmy! Aku….
       “Aku cintakan Jimmy!” Suara jeritanku menghiasi ruang bilik kuliah. Suasana terus berubah senyap sunyi dan semua mata mula terarah kepadaku.  Adeh malunya…
       “Jimmy? Jimmy mana pulak ni, Cik Suriyana?” soal Cik Jijah sambil merenung aku tajam. Saat itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaan aku. Malu gila!
       “Jimmy Palikat kut, Cik Jijah. Tiada keretaku bawa kau jalan-jalan. Rumah ku pun tiada, ada pun bapak punya. Apa lagi belanja mahu bayar berian kawin sama kamu…” Bernanah telinga aku mendengar suara katak puru Puad. Hati aku lagilah sakit. Semua rakan mula bersorak-sorak mengejek aku. Macam kanak-kanak rebina! Ah! Bencinya!
Keadaan mula riuh-rendah. Aku hanya mampu tertunduk malu. Sofiya pula tak banyak membantu. Dengan dia-dia sekali ketawakan aku. Apa kelakar sangat ke? Ingat ni Raja Lawak ke? Ugh!
       “Diam semua!” Kali ini, jeritan Cik Jijah pula yang memenuhi ruang. Puad dan rakan-rakan yang masih bergelak sakan terdiam bisu. Aku harap, Puad betul-betul jadi bisu. Benci betul aku pada mamat bajet bagus tu. Bajet dia tu FTlah. Pergi audition nyanyian selalu tak lepas. Tu pun tak sedar-sedar lagi yang dia tu tiada suara. FT pun gelaklah kalau dengar kau nyanyi, Puad! Ugh!
Setelah keadaan kembali tenang, kuliah disambung kembali. Nasib baik mood Cik Jijah Diva baik hari ni. Kalau tak, aku pasti dia akan membebel panjang dengan aku. Fuhh, selamat! Isu aku dan Emir terkubur begitu saja. Aku malas nak fikir lagi. Bagi aku, tak mungkin untuk aku terlalu mudah jatuh cinta dengan seseorang. Sofiya silap kalau dia ingat aku akan jatuh cinta pada Emir semata-mata Emir tu kacak orangnya.
Untuk menjadi lelaki pilihan aku, harulah memenuhi kreatiria yang telah aku tetapkan. Setakat ini, Emir hanya lulus dua ciri-ciri lelaki idamanku. Ciri pertama, lelaki tu haruslah lebih tinggi dari aku. Dan Emir memang tidak disangkal lagi memang lebih tinggi dari aku. Ciri kedua, lelaki idaman aku haruslah mempunyai senyuman yang menyejukkan mataku yang memandangnya. Emir memiliki senyuman itu. Ciri ketiga next time aku cerita. Hehehe…



Sunday 29 September 2013

Bab 3 : Suri Di Hatiku




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


BAB 3

       “Emirrrr…” Berlagu manja suaraku memanggilnya. Tak berkelip mataku memandang wajah Emir. Bukan niatku untuk mengganggu fokusnya memandu tapi aku memang sengaja nak buat dia tergoda. Jahatnya aku…
       “Emirrrr…” Sekali lagi aku panggil dia. Tanganku cuba merayap untuk memegang tangannya tapi pantas dia melarikan tangannya ke stereng kereta. Aku diam sambil cebik bibir. Huh! Kuatnya iman mamat ni.
       “Emir ni. Suri panggil langsung tak layan. Hmmm…” Aku buat-buat merajuk. Nak juga merasa dia pujuk aku. Tapi kalau Emir ni memang jenis yang tak reti memujuk, memang parahlah aku. Sampai bila-bilapun aku makan hati. But, wait-wait. Buat apa aku nak merajuk dengan dia dan aku nak dia pujuk aku. Bukannya kami ni couple pun. Ah! Lupakan! Yang penting sekarang aku nak Emir pujuk aku. Full stop!
       “Ya, Suri. Kenapa?” Akhirnya Emir bersuara. Dalam diam, aku tersenyum mendengar suara gemersiknya. Pandai pun pujuk.
Aku mendengus kecil seakan-akan sudah merajuk benar dengan dia. Namun, sesaat kemudian, apabila aku pandang Emir dan terlihat senyuman Emir yang manis macam gula-gula tu, aku tak jadi nak merajuk. Alahai… comelnya dia senyum.
       “Emir tahu ke jalan nak masuk rumah Suri ni? Tak tanya Suri apa-apa pun.” Kata-kataku jelas buat Emir terkejut. Entah kenapa dia jadi agak menggelabah.
       “Err… Emir lupa nak tanya. Rumah Suri kat mana ya?” tanyanya sambil berpaling ke sebelah memandang wajahku yang memandang wajahnya. Mata kami bertembung. Tak sampai sesaat, laju dia mengalihkan anak mata hazelnya itu ke lain. Kecewa aku dibuatnya sebab tak berjaya menatap lama anak mata hazel milik Emir itu.
       “Dah dekat ni. Area-area ni jugak. Lepas traffic light nanti, Emir masuk simpang ke kanan. Lepas tu straight aje.” Aku beri arahan. Yang peliknya aku hanya cakap rumahku terletak di kawasan Puchong Perdana. Tak sangka pula Emir betul-betul memandu hingga ke kawasan  berdekatan rumah aku. Mungkin hanya kebetulan. Tak mungkin dia tahu aku tinggal di mana. Kamikan baru kenal.
Akhirnya kereta yang kami naiki berhenti di lampu isyarat. Sementara menunggu satu minit lampu merah bertukar menjadi hijau, aku ingin mengambil peluang ini untuk bertanya soalan kepadanya. Soalan peribadi.
       “Emir ada berapa orang adik-beradik?” tanyaku agak manja.
Namun, soalanku itu berjaya membuat Emir agak serba salah untuk menjawabnya. Agak lama lelaki itu berjeda. Sempat juga digaru-garukan kepalanya. Aku hanya memerhati kosong.
       “Erm… Emir anak tunggal. Tapi Emir ada adik angkat,” jawabnya tenang.
       “Ooo… adik perempuan ke lelaki?” tanyaku lagi.
       “Perempuan. Suri ada berapa orang adik-beradik?” Seperti biasa, dia pasti menanyakan kembali soalan yang sama aku tanya padanya.
       “Suri ada seorang kakak. Sekarang dia study di Australia. Adik Emir tu study lagi ke?”
       “Ha’ah.” Entah kenapa hatiku sedikit tidak berpuas hati dengan jawapannya. Cemburukah aku apabila ada perempuan lain yang mendampingi Emir? Tapi antara aku dan Emir bukan ada apa-apa hubungan pun. Yana, bila kau nak lamar Emir jadi bf kau ni. Suara hatiku berbisik.
Aku pandang Emir. Patutkah aku meluahkan perasaanku padanya sekarang? Tapi kami baru aje kenal dua hari. Macam tak logik pula dalam masa dua hari aku dah boleh jatuh cinta dengan dia. Mesti dia ingat aku main-main. Kalau boleh, aku nak dia nampak keikhlasan aku mencintainya walaupun hakikatnya aku hanya berlakon!
Tak sempat aku bertanya lanjut, kereta mula bergerak. Emir segera memusingkan stereng masuk ke simpang belah kanan.
       “Yang mana satu rumah Suri?” tanyanya kepadaku. Amboi mamat ni. Macam dah tak sabar-sabar nak aku keluar dari kereta ni. Hello! Ni kereta akulah.
       “Yang nombor 341 tu,” jawabku acuh tak acuh. Akhirnya kereta mula memperlahankan rentaknya. Emir memberhentikan kereta betul-betul di hadapan pagar rumah agam tiga tingkat milik keluargaku.
Aku tarik nafas dalam. Walau dalam hati aku rasa kecewa sebab tak banyak yang boleh aku bualkan dengan Emir, aku masih punya satu lagi idea hebat. Minta-minta dia setuju.
       “Kereta ni Emir bawa balik. Esok Emir datang ambil Suri. Tepat jam 9 pagi. Okey?” Dia agak tercengang. Mungkin tak percaya aku minta dia bawa balik kereta aku yang mahal ni.
       “Tapi….”
       Takde tapi-tapi. Lagipun kat kawasan ni susah nak dapat teksi. Emir ambil aje kereta ni. Esok datang ambil Suri. Kita pergi kolej sama-sama. Boleh sarapan sama-sama. Atau Emir ada kerja lain nak buat esok. Hmm?” Aku cuba pancing dia.
Emir membetulkan kaca mata bingkai tebalnya. Dia menggeleng kepala.
       “Kalau macam tu, Emir datang ambil Suri esok ya,” ujarku lagi memaksa. Dan akhirnya dia menganggukkan kepala. Senang aku dengan jawapan yang diberikannya. Bukan susah sangat pun nak pikat mamat nerd ni. Emir ni macam kerbau dicucuk hidunglah. Aku suruh ni, dia buat. Aku suruh tu, dia ikut. Heh! Baik sangat.
       “Okey. Suri minta diri dulu.Bye…” Aku bukak pintu kereta. Tak sempat kakiku menjejak tanah, tiba-tiba saja aku menjerit kesakitan.
       “Arghh, sakitnya! Ouchhh…” Kekejangan yang aku alami masih belum hilang. Terasa keras pehaku dibuatnya.
Emir pantas keluar dari tempat duduk pemandu. Dia segera mendapatkan aku. Tidak banyak yang boleh dia lakukan. Dia hanya perhatikan aku yang sedang memicit-micit pehaku agar hilang sedikit rasa kebasnya.
       “Dah okey?” tanya Emir dengan nada perlahan. Aku anggukan kepala.
Merasa kakiku kembali elok, segera aku bangun dari kerusi dan keluar dari kereta. Aku berdiri di hadapan Emir sambil tersenyum manis. Emir turut membalas senyumanku itu dengan senyuman mahalnya.
       “Emir pergi dulu ya, Suri.” Dia meminta diri. Aku hanya angguk kepala. Tanpa berkata lebih lanjut, Emir segera masuk ke dalam kereta sambil melambai tangan. Seketika kemudian, kereta itu menghilang dari pandanganku.
Aku masih berdiri di situ sambil mengimbau kembali memori indah yang tercipta antara aku dan dia hari ini. Takku sangka, Emir boleh dikategorikan sebagai mamat romantik yang berselindung di sebalik rambut Abu Bakar Elahnya itu. So sweet!
       “Esok aku harus pujuk dia ubah style rambut dia tu. Eee… pleaselah. Sekarang bukan zaman Abu Bakar Elahlah. Sekarang zaman ‘oppa gangnam style’. Barulah sesuai nak berdampingan dengan Intan Suriyana ni. Huh! Tunggulah kau Emir. Lepas ni kau bukan lagi Emir yang dulu. Tapi akan jadi Ku Emir Affan yang baru.” Aku tersenyum penuh makna. Benakku sibuk merangka rancangan yang seterusnya. Bab-bab make over ni aku harus minta bantuan dari Suzi. Salah seorang kawan rapat aku selain Sofiya. Kami bertiga mempunyai gelaran yang tersendiri. Suriyana, Sofiya, Suzi. SUSOSU. Ahli SUSOSU haruslah daring, seksi dan menggoda. Tidak perlu setia pada seorang lelaki selagi tidak bergelar isteri. Itulah motto kami. Yeah!

************

       “Jemput makan, Yana.” Pelawa Mak Limah sambil menarik kerusi untuk aku. Aku yang baru turun dari bilik segera melangkah ke meja makan lalu melabuhkan duduk ke kerusi. Ucapan terima kasih kuhulurkan pada Mak Limah, orang gaji yang telah lama berkhidmat untuk keluarga aku. Mak Limah sebenarnya ada bau-bau bacang dengan mama.
       “Mak masak lauk apa hari ni? Macam best aje ni.” Aku pandang lauk pauk yang terhidang atas meja. Ada lauk udang masak merahlah. My favourite!
       “Hari ni mak masakkan lauk kegemaran Yana. Kuih kegemaran Yana pun mak buatkan sekali. Cukup ke ni?” tanya Mak Limah yang bersedia untuk menambah sesenduk lagi nasi ke dalam pingganku.
       “Dah-dah. Yana tak boleh makan banyak sangat sebab sekarang Yana tengah diet. Lagipun baru tadi Yana berjogging. Kalau makan banyak-banyak, sia-sialah kalori yang Yana berjaya turunkan tadi tu.” Aku tersengih. Mak Limah juga senyum sama.
Tanpa aku suruh, Mak Limah menyeduk udang masak merah itu ke pingganku. Tiga ekor udang segar-segar dan besar-besar memenuhi pinggan. Usai itu, dituang pula jus oren ke dalam gelas. Layanan Mak Limah memang tip top lah. Macam tahu-tahu aje aku malas nak buat semua ni. Hehehe…
Itulah Mak Limah. Selain menjadi orang gaji di rumah ini, dia juga sudah ku anggap seperti ibu ku sendiri. Kerana itulah aku memanggilnya mak. Mama dan papa pula tidak kisah. Kerana mereka juga sudah menganggap Mak Limah bagai keluarga sendiri. Tapi Kak Su, kakak sulungku tidak begitu mesra dengan Mak Limah. Entah kenapalah Kak Su macam benci sangat dengan Mak Limah yang baik gila tu. Ah… Tak faham aku.
Banyak benda yang aku kongsi dengan Mak Limah. Mak Limahkan sporting. Kalau aku ada masalah, aku pasti akan share dengan dia. Boleh dikatakan, semua nama ex-boyfriend aku Mak Limah ingat. Hehehe…
       “Hah, Yana. Lelaki mana yang hantar Yana balik tadi? Kereta Yana mana?” tanya Mak  Limah sambil duduk di sebelahku. Dia turut tumpang sekaki makan malam bersamaku. Mama dan papa masih berada di Bandung. Kata mereka, lagi dua tiga hari baru mereka akan pulang. Banyak masalah yang masih belum diselesaikan di sana. Aku tak kisah. Yang penting, mama harus belikan baju baru untuk aku. Sudah agak lama aku tak membeli-belah ke Bandung. Cuti semester ni aku nak ke sanalah. Ajak Sofiya dan Suzi sekali.
       “Yana… Oh Yana…” Panggilan Mak Limah menyentakkan aku. Aku pandang wajah tuanya sambil tersengih macam kerang wangi.
       “Oh, budak tu eh. Itu kawan baru Yana. Dan… Yana nak jadikan dia bf Yanalah, mak. Sebab Yana rasa Yana dah jatuh hati dengan dia.” Aku berterus terang. Mungkin Mak Limah boleh salurkan idea yang hebat untuk aku berjaya pikat Emir.
Mak Limah mengerutkan dahinya. Mungkin tak percaya aku boleh secepat ini jatuh cinta dengan lelaki baru. Yalah, baru beberapa minggu yang lepas aku beritahu padanya tentang perasaanku pada Jimmy. Mungkin Mak Limah sendiri dah keliru.
       “Bukan Yana cakap Yana suka pada Jimmy ke? Ini budak mana pulak. Apa nama dia?” Mak Limah bertanya serius. Hah, kan aku dah kata. Mak Limah memang dah keliru.
       “Alaa Jimmy tukan dah berpunya, mak. Takkanlah Yana nak rampas dia dari kawan Yana sendiri. Yang si Emir ni belum berpunya lagi. Still single. Yana jatuh cinta pandang pertama pada dia, mak. Betul Yana tak tipu.” Aku cuba meyakinkan. Aku rasa tidak perlulah Mak  Limah tahu mengenai perjanjian dan pertarungan aku dengan Sofiya itu. Kalau dia tahu, mahu aku ditazkirahnya panjang berjela. Mesti aku akan berat hati nanti. Lebih baik Mak Limah tak tahu. Aku pun takkan rasa bersalah lagi nak buat Emir macam tu. Demi mendapatkan Jimmy, aku sanggup buat apa saja!
Terdengar keluhan berat dari Mak Limah. Tak jadi aku sambung menyantap.
       “Kalau Yana betul-betul sukakan budak Emir tu, mak akan sokong seratus peratus. Tapi jangan nak main-mainkan hati orang lagi, Yana. Tak baik, nak. Suatu hari nanti, mungkin hati Yana pula yang akan dipermainkan. Kalau Yana cintakan Emir, ikhlaskan hati cintakan dia. Jangan cintakan dia sebab nak main-main. Faham, sayang?” Aku telan liur.
Takku sangka Mak  Limah akan memberi nasihat seperti ini kepadaku. Apa selama ini Mak Limah tidak menyukai apa yang telah aku lakukan pada lelaki-lelaki yang pernah menjadi teman lelakiku? Mungkin di belakang aku, Mak Limah mengutuk dan menghina perlakuan aku yang selalu mempermainkan hati lelaki. Ah! Sampai hati mak!
       “Jadi mak rasa perbuatan Yana ni salah? Kenapa selama ni mak tak cakap apa-apa pun. Mak tak pernah beri nasihat macam ni pada Yana.” Sedikit kasar percakapanku. Aku cuba untuk bersabar. Mungkin Mak Limah punya maksud dia yang tersendiri.
Sambil pegang tangan aku, Mak Limah tenung jauh ke dalam anak mataku.
       “Memang… Memang perbuatan Yana ni salah. Permainkan hati lelaki. Bila Yana suka, Yana cinta. Bila Yana tak suka, Yana benci dan tinggalkan dia. Pernahkah Yana fikir, mungkin lelaki yang Yana permainkan tu benar-benar mengasihi Yana. Dan mungkin juga ada antara mereka telah menyimpan dendam terhadap Yana. Sudah-sudahlah, sayang. Belum terlambat lagi untuk Yana berubah. Hentikan daripada mempermainkan hati orang. Jangan sampai hati Yana pula yang merana nanti.”
Cukup berbisa kata-kata yang terluah dari bibir Mak Limah itu. Sepertinya akulah perempuan yang paling jahat dalam dunia ini kerana telah mempermainkan hati lelaki. Akulah perempuan jahat yang suka menghancurkan perasaan lelaki. Akulah si pematah hati!
       “Yana tak suka mak masuk campur dalam hal ni. Ini kehidupan Yana. Yana berhak buat apa yang Yana suka. Selama ni Yana kongsi masalah dengan mak, sebab Yana nak tenangkan hati Yana. Bukannya nak terima kata-kata sindiran dari mak! Mak tak layak beri nasihat pada Yana!” Aku bingkas bangun. Mati terus seleraku saat itu. Untuk pandang muka Mak Limah pun aku tidak mampu. Aku takut, bila hati panas macam ni, aku hamburkan kata-kata yang lebih menyakiti hati aku dan dia.
Aku meluru mendaki anak tangga menuju ke kamar tidurku. Hatiku sakit. Sindiran Mak Limah menusuk ke jiwaku yang paling dalam. Dan aku mula terfikirkan kata-kata itu. Benarkah hati aku pula yang akan terluka suatu hari nanti? Kerana aku telah melukakan banyak hati. Aku telah mempermainkan ramai lelaki. Tapi mereka seharusnya faham. Intan Suriyana tidak pernah setia dengan seorang lelaki. Tidak pernah. Sepatutnya mereka tahu tentang hal tu. Mereka yang terhegeh-hegeh nak bercinta dengan aku. Walaupun mereka tahu, aku ni si pematah hati lelaki. Ada antara mereka yang masih sanggup setia dan mencintai aku. Akukah yang salah? Akukah yang salah?!

***********

Mood aku mati. Kata-kata sindiran Mak Limah masih berbekas dalam hati. Mana mungkin aku dapat terima teguran itu dengan hati yang terbuka. Kerana bagi aku, aku tidak salah dalam soal ini. Lelaki-lelaki yang pernah menjadi teman lelakiku, semuanya sudah sedia maklum dengan gelaran ‘playgirl’ yang aku pegang. Tapi mereka masih lagi terkejar-kejarkan aku. Mereka masih lagi memberanikan diri untuk bercinta dengan aku. Aku takkan menolak. Kerana bagi aku, bercinta dan berkenalan dengan lelaki adalah satu cara aku untuk belajar apa itu erti cinta sejati. Setakat ini, aku sudah berjaya mengutip banyak pengalaman mengenai CINTA. Kononnya demi cinta, orang sanggup melakukan apa saja. Aku melalui semua itu.
Haikal. Lelaki pertama yang menjadi teman lelakiku. Dengan wajahnya yang tampan persis seorang model, aku cukup berbangga memiliki dia sebagai kekasih. Dahlah anak orang kaya, kacak pulak tu. Apa lagi yang aku mahu. Aku rasa akulah perempuan yang paling bertuah dapat memiliki dia. Aku betul-betul cintakan dia sepenuh hati.
Tapi! Yang sengalnya pasal Haikal ni bila dia curang di belakang aku. Aku cukup pantang dengan orang yang curang dengan aku. Haikal cakap… ‘Bercinta biar beribu, berkahwin biar satu, Yana.’ Masih aku ingat usai dia mengucap baris ayat itu, terus aku menghadiahkannya satu tamparan wanita. Padan dengan muka dia!
Selepas putus cinta dengan Haikal, aku dipikat oleh Syed Firdaus Maulana. Anak tauke kilang karpet yang paling popular di Kuala Lumpur. Muka sah-sah ala-ala pak Arab. Memang kacak habis. Tapi! Sikap dia buat aku memutuskan hubungan kami. Dia terlalu mengongkong aku. Sikapnya yang terlalu ‘caring’ berjaya meloyakan aku. Ah! Aku cukup tidak suka dengan lelaki yang mengongkong. Dipendekkan cerita, aku putus dengan dia selepas dua bulan bercinta.
Yang ketiga, Affendi. Lelaki Minang yang sangat pekat loghat Nogorinya. Kadang-kadang aku tak faham kenapa aku sanggup jadi teman wanitanya. Muka Affendi bukannya handsome sangat pun tapi sikap dia yang suka mendengar masalah aku buat aku jadi tenang di sampingnya. Tapi! Affendi ni memang agak membosankan. Setiap kali naik kereta dengan dia, wajib dia pasang lagu Ayam Den Lapeh. Aku yang tak minat lagu rakyat macam tu, sampai dah ingat lirik lagu Anita Sarawak tu. Dahsyat tak dahsyat! Oleh kerana Affendi membosankan aku, aku break up dengan dia. Cari lain!
Yang keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan… Semuanya aku yang minta putus dulu. Banyak yang aku kutip dari setiap percintaan aku. Mungkin kerana sekali hati aku dikecewakan oleh Haikal dulu, aku mula menyimpan dendam terhadap lelaki. Bagi aku, lelaki tak ubah seperti sepinggan cakuew tiow. Memang senang nak dapat sepinggan cakuew tiow, tapi untuk mencari cakuew tiow yang kena dengan jiwa cukup segala rencah dan rasanya memang agak sukar.
Begitulah lelaki. Memang ramai lelaki dalam dunia ini. Tapi untuk mencari lelaki yang kena dengan jiwa, memang aku rasa agak payah. Apa orang putih cakap. Soulmate?
Dalam sibuk mempermainkan hati lelaki, aku juga sebenarnya masih mencari cinta sejati. Teman sehidup semati yang mampu mencintai dan menyayangi aku apa adanya aku. Kadang-kadang aku rasa aku tak layak untuk memiliki seorang lelaki yang baik dan penyayang kerana aku bukanlah seorang perempuan yang baik dan penyayang. Tapi aku hanya manusia biasa yang aku pasti suatu hari nanti aku akan mengalami perubahan untuk menjadi lebih baik.
Aku harap sangat, selepas ‘urusan’ aku dengan Emir selesai, Allah menemukan aku dengan seorang lelaki yang bakal menjadi jodoh aku. Untuk selama-lamanaya… Amin…